MUKJIZAT NABI ALLAH DAUD
Nabi Daud a.s adalah seorang lagi Nabi dan rasul yang masyhur namanya di kalangan para nabi dan rasul yang Allah S.W.T. utuskan kepada kaum Bani Israel. Nabi Daud a.s ialah anak kepada Esa, ada orang menyebut Yisya atau Isya. Beliau adalah keturunan kedua belas daripada Nabi Ibrahim a.s menerusi anaknya Nabi Ishak. Beliau adalah anak bongsu dan tinggal bersama bapanya di sebuah kampong di Baitul Laham tempat kelahiran Nabi Allah Isa a.s.
Sejak kecil lagi Nabi Daud sangat suka bermain dengan lastik. Dia sangat mahir menggunakan lastiknya. Setiap kali dia menuju pasti tepat pada sasarannya. Permainan yang menjadi kegemarannya itu akhirnya menjadi senjata di dalam peperangan.
1. Mukjizat memahami percakapan burung dan melembutkan besi
Sebagai seorang yang bakal menjadi Nabi, beliau mempunyai kelebihan dan mukjizat yang beliau sendiri tidak mengetahuinya. Pada suatu hari selepas Nabi Daud membawa makanan kepada abang-abangnya yang sedang menggembala binatang ternakan di lembah Sof maka dalam perjalanan pulang beliau telah berhenti berehat di bawah sebatang pokok yang rendang.
Semasa dia sedang bersandar di pangkal pokok itu beliau telah terdengar dua ekor burung belatuk sedang bercakap dalam bahasa mereka sendiri di atas ranting pokok tempat dia bersandar itu. Dengan kehendak Allah Nabi Daud dapat memahami perbualan kedua-dua ekor burung itu. Mereka sedang bercakap-cakap tentang dirinya. Salah seekor dari burung itu berkata kepada kawannya: “Adakah orang yang baring di bawah pokok ini bernama Daud yang sering jin-jin menyebut namanya?” Kawan burung itu menjawab : “Benar! Dia itulah yang dikatakan oleh jin-jin itu yang bakal menjadi pemimpin kaumnya.”
Nabi Daud yang sedang baring di bawah pokok itu hairan mendengar percakapan kedua –dua burung belatuk itu tentang dirinya. Beliau terasa bagaikan bermimpi lalu beliau berdiri. Oleh kerana burung itu terkejut merekapun terbang dari situ, Nabi Daud termenung memikirkan percakapan burung-burung itu. Untuk membuktikan kebenaran kata-kata burung itu beliau pun pergi ke sebuah bukit butir-butir besi yang bercampur aduk dengan batu batan yang berlonggok di kaki bukit itu. Kemudian beliau membersihkan batu-batu besi itu sebanyak mungkin.
Sampai saja di rumahnya dia terus menyalakan api lalu dileburnya besi-besi itu, kemudian dengan hanya menggunakan tangan beliau membuat satu lembaran kawat (dawai). Daripada kawat itu dibuatnya mata rantai. Dan daripada mata rantai itulah disusunnya dan dianyam sehingga menjadi sehelai baju besi.
Firman Allah di dalam surah Saba’ ayat 10 dan 11 yang berbunyi : Maksudnya :
“Sesungguhnya telah Kami kurnia kepada Daud lalu Kami berfirman, “Hai gunung-gunung ulangkan tasbih bersama Daud, begitu pula burung-burung dan Kami lunakkan besi kepadanya.” “Serta Kami wahyukan kepadanya : Buatlah baju dari besi itu dan aturlah tenunannya, serta kerjakanlah amal yang soleh, sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.” Dalam surah Saba’ ayat 17-20 Allah juga telah berfirman yang berbunyi :
Maksudnya :
“Sebarkanlah hai Muhammad, mendengar perkataan mereka itu dan perhatikanlah riwayat hamba Kami, Daud yang mempunyai kekuatan, sesungguhnya dia adalah orang yang banyak bertaubat kepada Allah.”
“Kami mudahkan baginya gunung-gunung seraya bertasbih bersama-sama dengan dia pada petang-petang dan pagi-pagi. Begitu pula burung-burung yang berkumpul kepadanya mengulang-ulang tasbih Nabi Daud itu. Kami kuatkan kerajaannya dan Kami anugerahkan kepadanya ilmu pengetahuan dan fasih lidahnya (pandai hukum).
2. Mukjizat berupa kekuatan dan keberanian.
Nabi Daud a.s seperti juga dengan Nabi dan Rasul terdahulu; mereka telah dikurniakan dengan kekuatan dan keberanian yang amat luar biasa. Kekuatan dan keberanian Nabi Daud adalah lebih menonjol daripada nabi dan rasul yang lain.
Pernah suatu ketika semasa beliau masih kecil iaitu kira-kira berumur 9 tahun, beliau telah menawarkan dirinya untuk pergi berperang menentang tentera Jalut sebagai membantu rajanya yang bernama Thalut. Mendengar permintaan Nabi Daud itu Thalut berkata kepadanya : “Hai budak ! Aku fikir engkau terlalu kecil untuk pergi berperang.” “Benar tuanku. Tetapi janganlah melihat besar kecilnya tubuh seseorang sahaja. Sekalipun saya kecil tetapi saya rasa tubuh saya cukup kuat untuk mengalakan musuh. Semangat dan jiwa saya pula cukup teguh untuk menghadapi peperangan.”
Mendengar penerangan Nabi Daud itu, Raja Thalut mulanya agak keberatan untuk menerima jasa baiknya untuk berperang kalau sebelum Nabi Daud menceritakan sebarang kisah keberaniannya. Kata Nabi Daud : “ Wahai raja, sesungguhnya kelmarin seekor singa telah menangkap kambingku, lalu aku terkam singa itu dan bergelut dengannya. Walaupun singa itu besar dan garang tetapi saya dapat mematahkan lehernya. Manakala pada hari yang lain pula saya telah bertemu dengan sesekor beruang besar yang cuba hendak menerkam diri saya. Tapi saya dapat memegang mulut beruang itu dan mematahkan lehernya sampai mati.”
Raja Thalut berasa kagum dan terkejut mendengar cerita Nabi Daud. Dia tidak menyangka budak sekecil itu mempunyai keberanian yang luar biasa. Raja Thalut termenung seketika memikirkan kesahihan dan keberanian Nabi Daud.
Akhirnya Raja Tahlut itu bersetuju dan mengizinkan Nabi Daud turut serta berperang bersama tenteranya menentang Jalut yang perkasa lagi zalim itu. Apabila Nabi Daud telah bersetuju hendak ikut serta berperang lantas beliau pun diberikan tombak dan lembing sebagai senjata untuk menghadapi tentera Jalut. Oleh kerana tombak dan lembing itu terlalu panjang dan tubuhnya pula pendek maka sukarlah dia hendak membawa tombak itu.
Oleh kerana tidak ada senjata lain. Nabi Daud pun mengambil seutas tali dan beberapa butir batu yang berat-berat. Melihatkan yang demikian Raja Thalut berasa hairan lalu dia betanya :
“Bagaimana engkau hendak berperang dengan hanya menggunakan tali dan batu-batu itu. Bukankah perang yang kita hadapi ini menggunakan tombak dan lembing.”
Lantas Nabi Daud mengatakan bahawak lastiknya itu mempunyai kekuatan yang tersendiri kalau ditujukan kepada sesiapapun apabila terkena pelurunya pasti akan cedera ataupun mati.
“Tuhan telah memelihara aku dari bahaya singa dan beruang dengan tali dan batu. Aku percaya Tuhan juga akan menolong dan memelihara aku dalam perang ini dengan tali dan batu juga.” Kata Nabi Daud.
Peperangan itu bermula dengan pertempuran seorang lawan seorang. Pertandingan itu kebanyakkannya dimenangi oleh tentera Jalut dari puak Amaliqah. Kemudian Jalut mencabar pemimpin Bani Israel (Thalut) untuk menentukan siapa kalah dan siapa menang. Jalut berkata kalau dia menang, dia akan memerintah terus negeri Bani Israel, tetapi sebaliknya kalau Thalut yang menang negeri boleh diperintah kembali oleh puak Bani Israel.
Mendengar Jalut berkata begitu Thalut menjadi serba salah lalu beliau berkata tenteranya bahawa sesiapa yang dapat menumpaskan Jalut beliau akan dikahwinkan dengan puterinya, Mikyal dan akan dilantik menjadi raja selepas tamat pemerintahan beliau.
Pada saat mereka kelam kabut itu tampillah seorang pemuda mentah (Nabi Daud) meminta kebenaran untuk berlawan dengan musuh itu. Dia kelihatan tenang dan bersiap sedia hendak berperang. Oleh kerana dia terlalu kecil pada pandangan Thalut maka beliau tidak mempedulikannya.
Kemudian Nabi Daud terus mendekati kedudukan Jalut. Sebelum Jalut dapat memukulnya dengan pedang, Nabi Daud terlebih dahulu memukul Jalut dengan melemparkannya batu sekuat-kuatnya. Batu pertama tepat mengenai kepala Jalut lalu disusuli dengan batu kedua, ketiga, keempat dan seterusnya sehingga Raja Jalut yang sombong itu mati di situ juga.
Nabi Daud terus menyerang dengan peluru lastiknya sehingg seorang demi seorang pasukan Jalut tumpas di tangannya. Melihatkan ketua dan rakan-rakan mereka mati maka tentera musuh menjadi kucar kacir dan lari bertempiran. Akhirnya pihak musuh Berjaya dikalahkan. Dan kemudian mereka kembali memasuki negeri mereka sendiri setelah bertahun-tahun diperintah oleh musuh.
Kisah Nabi Daud a.s bertempur dengan tentera Jalut telah diceritakan oleh Allah di dalam Al Quran surah Al Baqarah yang berbunyi :
Maksudnya :
“Ya Tuhan kami ! Datangkanlah kesabaran ke dalam hati kami dan tetapkanlah tapak kaki (kuatkanlah kami) dan tolonglah kami mengalahkan kaum yang kafir ini.” “Kemudian mereka mengalahkan Jalut serta bala tenteranya dengan izin Allah dan Daud salah seorang bala tentera Thalut yang dapat membunuh Jalut, dan Allah memberikan kerajaan dan ilmu pengetahuan kepda Daud seta diajarkannya apa-apa yang dikehendakiNya. Jika tidaklah ditolak nescaya binasalah bumi ini, tetapi Allah mempunyai kurnia atas sekian alam.” -Al-Baqarah : 250-251-
3. Mukjizat berupa suara merdu .
Satu lagi mukjizat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Daud ialah memiliki suara yang enak merdu apabila beliau menyanyikan sesuatu. Adalah diriwayatkan apabila Nabi Daud melagukan kitab Zabur iaitu kitab yang diturunkan oleh Allah kepadanya yang berisi petunjuk dan perintah dari Tuhan maka orang-orang yang sakit apabila mendengarkan suaranya secara serta merta penyakit orang out akan sembuh. Bahkan sekalian jin dan manusia serta burung-burung akan berkumpul dan berhenti apabila mendengarkan suaranya. Angin berhenti bertiup, gunung-gunung dan burung-burung ikut serta bertasbih dengan bahasa tersendiri memuji kebesaran Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan