Ahad, 26 Julai 2009

MUKJIZAT NABI IBRAHIM


MUKJIZAT NABI IBRAHIM


Nabi Ibrahim ialah anak kepada Aazar (Tarih) bin Tahur bin Sariy bin Rauk bin Falij bin Aabir bin Salih bin Arfakasyad bin Sam bin Nuh a.s.


Beliau termasuk salah seorang dari lima orang rasul yang digelar sebagai Ulul Azmi yang terdiri dari Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w.


Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di sebuah negeri yang digelar Babylon yang terkenal di zaman dahulu sebagai kerajaan yang besar dan kuat. Ia diperintah oleh seorang raja yang zalim yang bernama Namrud.


Ayah Nabi Ibrahim seorang tukang pembuat patung-patung yang menjadi sembahan mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim dilahirkan di tengah-tengah masyarakat yang penuh dengan kekufuran dan kemusyrikan, tetapi beliau terpelihara daripada kesesatan.
Raja Namrud yang memerintah kerajaan Babylon adalah seorang pemerintah yang sangat zalim. Di tengah-tengah kehidupannya yang penuh kebodohan dan kesesatan itu, sikap Raja Namrud yang zalim lagi keras itu semakin menambahkan kesesatan dan kebodohan rakyat. Beliau telah memerintahkan rakyatnya mengukir patung-patung dari batu yang baik kerana raja itu sangat gemar memuja gambar-gambar serta patung-patung yang indah.


Menurut riwayat, pada suatu malam Raja Namrud yang zalim itu telah bermimpi sebagaimana halnya mimpi Raja Firaun di masa zaman Nabi Musa. Kononnya dalam mimpi itu Raja Namrud telah melihat seorang kanak-kanak melompat masuk ke dalam biliknya lalu merampas mahkota yang sedang dipakai di atas kepalanya lalu menghancurkan mahkota itu. Setelah baginda bangun dari tidur lantas dia termenung memikirkan mimpinya yang aneh itu.


Disebabkan kejahilan dan kebodohannya itu maka raja Namrud telah memanggil segala tukang tenung dengan tujuan untuk mentakwilkan apakah makna mimpinya itu. Setelah dilihat oleh tukang-tukang tenung yang musyrik itu maka Raja Namrud diberitahu bahawa akan lahir seorang anak lelaki di kalangan rakyat negeri itu di mana apabila dia dewasa kelak dia akan merampas segala kekuasaan raja itu dan pengaruhnya juga amat besar.


Mendengar penerangan tukang-tukang tilik itu, baginda berasa amat marah lalu beliau memerintahkan rakyatnya jangan berkahwin. Sesiapa yang sudah berkahwin, diperintahkannya supaya bercerai. Baginda juga telah mengarahkan orang-orang mengasingkan lelaki daripada perempuan supaya tidak bergaul dan bersama.


1. Mukjizat Nabi Ibrahim semasa kecil.


Apabila diisytiharkan larangan lelaki dan perempuan tidak boleh bertemu dan bergaul, Aazar (ayah Nabi Ibrahim) tidak pulang ke rumah walaupun kerinduannya yang memuncak beliau tetap berada di istana Namrud.


Walaupun ada larangan yang begitu keras, tetapi Allah juga yang maha Berkuasa. Pada suatu malam, isteri Aazar yang tinggal keseorangan dirumahnya tidak tertahan lagi kerinduannya kepada suami beliau. Lalu diapun pergi menemui suaminya di istana. Setibanya di istana didapati semua pengawal dan raja di istana itu sedang tidur dengan nyenyak. Maka dapatlah beliau menemui suaminya dan tidur bersama. Bergembiralah kedua-dua suami isteri itu tanpa gangguan orang lain. Selepas kedua suami isteri itu mendapat kepuasan masing-masing, isteri pulang semula kerumahnya.


Pertemuan Aazar dan isterinya pada malam itu telah membuatkan isterinya hamil. Setelah bayi itu lahir dan dibersihkan, ibunya menyelimutkannya dengan sehelai kain dan ditinggalkan di dalam sebuah gua dengan berat hati.


Dengan kehendak Allah, sepeninggalan ibu muda itu, datang Jibril menjaga keselamatan bayi itu. Jibril mengangkat tangan bayi itu dan memasukkan jari kecil itu ke dalam mulut bayi itu. Bayi itu menghisap jarinya. Dengan kehendak Allah, keluarlah susu dan madu berselang seli, maka selamatlah dia (Ibrahim) dari kelaparan.


Selepas tida hari kemudian barulah ibunya datang untuk melihat anaknya. Pada sangkaannya, anaknya pasti sudah matu kerana tiga hari tidak disusukan. Pada fikirannya biarlah anaknya itu mati kelaparan daripada dibunuh oleh Namrud. Isteri Aazar gembira apabila mendapati bayinya masih hidup dan sihat pula.


Nabi Ibrahim tinggal di dalam gua itu sehingga umurnya mencapai 5 tahun. Setiap hari Ibrahim melihat alam sekelilingnya. Dia berfikir siapakah pencipta alam dan makhluk yang dilihatnya.


2. Mukjizat melihat Allah menghidupkan burung mati (kekuasaan Allah).


Setelah dewasa beliau telah memulakan dakwahnya. Untuk memguatkan keimanan dan keraguan fikirannya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah supaya beliau diizinkan melihat yang sudah mati. Allah menjawab bahawa permohonannya dengan bertanya :
“Tidakkah kamu beriman dan mempercayai kekuasaan Ku”. Nabi Ibrahim tetap menegaskan bahawa beliau tetap beriman dan percaya kepada Allah dan kekuasaanNya. Bagaimanapun beliau ingin melihat dengan matanya sendiri agar hatinya akan tenteram dan tenang dan mengukuhkan lagi keyakinannya kepada Allah dan kekuasaanNya.


Permohonan Nabi Ibrahim diperkenankan. Kemudian Allah menyuruhnya menangkap 4 ekor burung. Dan disuruhnya meneliti dan menghalusi pemerhatian bahagian-bahagian tubuh dan bentuk burung itu. Selepas itu diperintahkan memotong dan mencincang bahagian-bahagian badan burung itu. Kemudian disuruh pula mencampur adukkan kesemuanya. Lalu disuruh bahagikan menjadi 4 longgok. Setiap longgok itu disuruh letakkan di puncak sebuah bukit yang menjadi 4 buah bukit yang berasingan untuk 4 longgok. Bukit-bukit itu terletak berjauhan di antara satu sama lain.


Setelah selesai apa yang disuruhkan oleh Allah, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyeru dan memanggil burung-burung itu. Dengan keizinan Allah, badan yang hancur itu berterbangan mencari bahagian tubuh masing-masing dan akhirnya bercantum semula seperti sediakala dan bernyawa lalu burung-burung itu berhenti dan hinggap di hadapan Nabi Ibrahim. Dengan peristiwa itu maka tenteramlah hatinya dan hilanglah semua keraguannya terhadap kekuasaan Allah SWT.


3. Mukjizat terselamat dari bakaran api.


Pada hari kebesaran masyarakat Babylon, yang biasanya mereka rayakan setiap tahun, mereka keluar beramai-ramai dan menuju ke suatu tempat yang luas dengan membawa makanan dan minuman secukupnya. Mereka bersuka ria dan berseronol dengan sepuas-puasnya, bernyanyi dan meminum minuman keras.


Nabi Ibrahim tidak ikut serta dalam pesta. Apabila diajak dia mengatakan dirinya kurang sihat dan ingin tinggal sendirian. Tetapi sebenarnya itulah hari yang dinanti-nantikan untuk membuktikan bahawa berhala yang sembah selama ini tidak mempunyai apa-apa kuasa.
Saat yang dinanti-nanti itu tiba, dengan bersenjatakan sebilah kapak, beliau pergi ke kuil kaumnya. Setibanya di situ, dia terus mengapak behala-berhala itu. Berhala yang terbesar tidak pula diganggunya, ia membiarkan tanpa cacat celanya. Kemudian kapak yang digunakan oleh Nabi Ibrahim itu digantunkannya dileher patung besar itu.


Apabila selesai pesta tahunan itu, penduduk Babylon pun kembali semua ke rumah masing-masing. Penjaga kuil itu pulang ke kuilnya, tetapi alangkah terperanjatnya dia apabila melihat patung-patung itu telah hancur.


Kekecohan penjaga kuil itu tersebar keseluruh pelusuk negeri itu. Mereka bertanyakan sesama sendiri bagaimana patung itu boleh musnah.


Mereka mula mensyaki Nabi Ibrahim yang melakukannya. Ini kerana beliau suka mengejek-ngejek perlakuan mereka terhadap patung-patung itu. Lebih-lebih lagi pada ketika itu Nabi Ibrahim tidak mengikut mereka keluar berpesta. Lalu merekapun pergi beramai-ramai menangkap Nabi Ibrahim untuk dibicarakan.


Setelah Nabi Ibrahim dibicarakan, beliau telah didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman bakar hidup-hidup kerana menghina dan membinasakan tuhan-tuhan mereka.
Upacara pembakaran itupun dimulakan, kayu api dibakar, api menjulang tinggi. Kalau ada burung melintas diatas pasti terbakar hangus. Namrud memerintahkan agar Nabi Ibrahim dibuangkan ke dalam api yang sedang menyala itu. Tetapi mereka tidak dapat mendekatinya kerana terlalu panas.


Lalu dianjurkan oleh Iblis yang pada ketika itu menyamar sebagai orang tua supaya mereka membuat kerat penyintak seperti pelengkung panah yang boleh menghumbankan sesuatu tepat ke sasarannya.


Apabila penyintak itu telah siap, Nabi Ibrahim pun diletakkan lalu diikat pada penyintak itu. Seramai 400 orang menarik tali penyintak itu dan sepuluh orang memegang tali yang diputuskan untuk menghumbankan Nabi Ibrahim ke dalam api.


Setelah segala persiapan siap, lalu tali itu dipotong maka terhumbanlah Nabi Ibrahim ke dalam unggun api itu. Tetapi dengan perintah Allah, seperti yang tersurat di dalam al quran surah al Anbiyak ayat 69 yang berbunyi :

Maksudnya :
“Kami berfirman, hai api ! Jadilah kamu sejuk dan selamatkan Ibrahim.”
Menurut Ibnu Abas r.a apabila Nabi Ibrahim jatuh ke dalam api itu, Malaikat Jibril membawa peralatan dari syurga termasuk pakaian untuk keselamatannya.


Di samping itu terpancutlah mata air di tengah-tengah api yang marak menyala itu. Ini menyebabkan api itu menjadi dingin dan selesa. Semenjak peristiwa pembakaran itu, Nabi Ibrahim kian giat berdakwah.


4. Namrud hendak berperang dengan Tuhan.


Selepas Nabi Ibrahim mendapat perintah menyuruhnya pergi semula ke Babylon, maka berangkatlah beliau beserta pengikutnya yang setia ke sana. Isterinya Siti Sarah ditinggalkan di Baitul Maqdis. Ketika sampai di Kufah, Nabi Ibrahim pun pergi menemui Namrud dan dianjurkan Namrud agar beriman kepada Allah. Tetapi Namrud enggan menerimanya.
Namrud menerangkan bahawa dia tidak memerlukan Allah, tetapi dia mengaku ingin memiliki kerajaan Allah dan sedia berperang dengan Allah di langit supaya kerajaan di langit pun dapat dikuasainya.


Kata Nabi Ibrahim, apalah daya Namrud untuk naik ke langit sedangkan dia sama sekali tidak berdaya terbang ke langit. Namrud mengatakan bahawa dia telah memelihara 4 ekor burung gergasi untuk terbang ke angkasa supaya dapat berperang dengan Allah.


Apabila Nabi Ibrahim tidak Berjaya mempengaruhi agar Namrud beriman dengan Allah, beliaupun pulang mencari tempat penginapan. Sejak itu Namrud tidak berlengah-lengah lagi melihat burung-burung itu agar terbang ke langit.


Pada mulanya Namrud tidak tahu untuk menunggang burung itu, tapi Iblis telah mengajarnya bagaimana mengendalikan burung itu. Iblis mengajar Namrud supaya burung-burung itu tidak diberi makan. Apabila hendak diterbangkan burung itu maka ikatkan daging pada sebatang kayu yang dihulurkan ke hadapan burung yang tercapai oleh burung itu.


Kata Iblis kalau hendaklan burung terbang ke langit, kayu yang ada daging itu ditarik ke atas. Dengan itu pasti burung itu terbang menuju ke langit.


Apabila tiba waktunya, Namrud naik ke atas belakang burung itu. Burung itu terbang kira-kira dua jam untuk mengambil makanan yang tergantung di hujung kayu itu. Burung itu terbang tinggi mengejar daging dihadapannya.


Namrud memegang panahnya. Dipanahnya ke atas seolah-olah dia benar-benar memanah Tuhan. Allah memerintahkan Malaikat Jibril menyambar anak panah itu dan dikembalikan kepada Namrud dengan hujungnya berbekas darah supaya dia menyangka anak panahnya sudah mengena pada sasarannya.


Setelah puas hatinya bahawa anak panahnya mengenai sasarannya, Namrud merendahkan kayu yang dipegangnya dan dipasang daging itu. Apabila burung itu melihat makanannya menurun ke bawah maka diterkamnya ke bawah.


Semakin lama semakin burung itu menjunam ke bumi, ia mengejar daging itu. Namrud tidak dapat mengawal kedudukannya di belakang burung itu. Dia tidak dapat mengimbangi badannya lalu jatuh ke dalam lumpur, tapi tidak tinggi. Dia hanya mengalami cedera ringan lalu dibawa pulang ke istana oleh para pengawalnya.


5. Namrud dibunuh oleh nyamuk.


Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah supaya diberi bantuan kepadanya untuk membinasakan kekuasaan Namrud yang sombong dan syirik itu. Dengan takdir Allah, keluarlah nyamuk yang terlalu banyak, tidak tahu dari mana datangnya berterbangan di langit seperti burung hitam.


Kata Nabi Ibrahim kepada Namrud : “Itulah tentera Tuhanku hendak menyerang tenteramu”
Nyamuk-nyamuk itu sangat kuat dan seekor nyamuk dapat membunuh seorang askar Namrud. Nyamuk-nyamuk itu menikam kepala askar-askar Namrud dengan belalainya. Otak dan darah askar-askar Namrud itu dihirup hingga kering.


Ramai askar Namrud yang mati. Namrud lari ke istananya, tetapi diikuti oleh seekor nyamuk yang tertampuk warna badannya dan buta sebelah matanya.


Namrud duduk di sisi isterinya. Nyamuk it uterus menyerang. Apabila Namrud hendak menangkapnya, nyamuk itu menikam otak Namrud. Namrud tidak dapat tidur. Dia sentiasa mengerang kesakitan. Nabi Ibrahim pergi menemuinya dan memujuk agar beliau beriman kepada Allah. Tetapi Namrud tetap juga enggan mengikut kepercayaan Nabi Ibrahim itu.
Akhirnya matilah Namrud setelah menerima azab selama 40 hari 40 malam. Dengan kematian Namrud itu barulah ramai rakyatnya mahu ikut kepercayaan Nabi Ibrahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan