Ahad, 26 Julai 2009

MUKJIZAT NABI SULAIMAN


MUKJIZAT NABI SULAIMAN


Nabi Sulaiman adalah merupakan anak kepada Nabi Daud a.s dan anak bongsu keturunan yang ke 13 Nabi Ibrahim a.s. Nabi Sulaiman juga adalah seorang Rasul yang utama.


Allah S.W.T telah mengurniakan belbagai kelebihan kepada beliau terutama sekali kecerdikan, kebijaksanaan dan keadilan memerintah. Nabi Sulaiman telah mewarisi takta kerajaan ayahnya Nabi Daud tatkala umurnya 13 tahun iaitu setelah wafatnya Nabi Daud a.s.


1. Mukjizat kepintaran dan kebijaksanaan.


Menurut suatu riwayat, pernah suatu ketika semasa beliau berumur 11 tahun, dua orang lelaki telah datang mengadap bapanya Nabi Daud kerana menghadapi perselisihan mengenai seekor kambing yang telah memakan tanamannya. Oleh kerana perkara itu tidak dapat diselesaikan maka mereka pun meminta Nabi Daud mengadili perkara itu.


Tuan punya ladang itu menyatakan dia mengalami kerugian kerana segala tanamannya telah habis dimakan oleh kambing kepunyaan penggembala itu. Oleh yang demikian dia meminta kerugiannya digantikan dengan kambing ternakan kawannya itu. Bagaimanapun penternak itu tidak bersetuju.


Setelah mendengar penjelasan dari kedua belah pihak, lantas Nabi Daud bersetuju cadangan petani itu kerana kerugian itu mesti dibayar atau diganti.


Nabi Sulaiman yang berada di majlis itu meminta perkara itu diserahkan kepadanya untuk diadili. Nabi Daud bersetuju tetapi beliau mahu mendengar keputusan itu terlebih dahulu.
Kemudian Nabi Sulaiman memberikan pendapatnya, beliau menyuruh kambing ternak penggembala itu diserahkan kepada petani yang mengalami kerugian itu akibat tanamannya di makan oleh kambing-kambing beliau selama setahun dengan itu petani itu akan mendapat faedah dari hasil air susu anak kambing itu dan bulunya sebagai ganti kerugian yang dialami oleh petani itu.


Manakala kebun petani itu pula diserahkan kepada penggembala kambing itu untuk dip agar dan dijaga sehingga kembali seperti sedia kala. Setelah cukup tempoh setahun mereka masing-masing akan menerima semula milik mereka dengan cara itu mereka tidak akan rugi atau untuk melebihi daripada yang dialami.


Akhirnya keputusan Nabi Sulaiman itu diterima oleh kedua-dua lelaki itu. Nabi Daud dan para hadirin yang menghadiri majis itu berpuas hati mendengar saranan Nabi Sulaiman. Mereka kagum dengan kebijaksanaan dan keberanian Nabi Sulaiman dalam memberikan pendapatnya melebihi pemikiran orang dewasa.


Dalam suatu peristiwa lain, juga memperlihatkan kepintaran dan kebijaksanaan Nabi Sulaiman. Pernah suatu ketika dua orang wanita telah mengadu kepada Nabi Daud mengenai seorang bayi yang masing-masing mengaku anaknya.


Kisahnya bermula apabila kedua wanita itu meletakkan anak masing-masing ditempat yang sama sebelum mereka pergi ke kebun. Semasa mereka sedang tekun bekerja tanpa disedar salah seorang daripada bayi wanita itu telah dilarikan oleh seekor serigala. Semasa mereka hendak berehat mereka dapati salah seorang daripada mereka itu telah hilang dari tempat tidurnya. Oleh kerana bayi itu tinggal seorang maka itulah punca yang menjadi perebutan diantara kedua wanita itu.


Setelah mendengar pengaduan kedua-dua wanita itu, Nabi Sulaiman memohon untuk mengadili perkara itu. Setelah dibenarkan oleh bapanya Nabi Daud, lalu beliau berkata kepada kedua wanita itu supaya jangan berbalah. Perkara ini amat mudah diselesaikan, biar bayi itu dibelah dua daripada kepala hingga keperutnya, kemudian kamu ambil bayi itu sebelah seorang.
Wanita yang sebenarnya menjadi ibu kepada bayi itu sangat terperanjat mendengar saranan Nabi Sulaiman lalu diapun berkata : “Jangan tuanku belah bayiku itu, akan sangat sayang kepadanya, daripada bayi itu dibunuh belah dua lebih baik diberikan saja bayi itu kepada wanita yang mengaku bayi itu anaknya.”


Muka ibu itu pucat, dia kelihatan cemas dan takut, manakala wanita yang seorang lagi tidak menunjukkan reaksi apa-apa diwajahnya. Bagi Nabi Sulaiman seorang ibu itu tidak akan tergamak melihat musibah menimpa ke atas anaknya. Dia akan rela berkorban apa saja asalkan anaknya itu senang dan selamat hidupnya. Dengan itu mengertilah Nabi Sulaiman bahawa wanita yang terkejut mendengar keputusannya dan merelakan anak itu diserahkan kepada wanita seorang lagi itu adalah ibu bayi yang sebenarnya. Akhirnya Nabi Sulaiman mengambil bayi itu dan menyerahkannya kepada wanita tersebut.


2. Mukjizat menggunakan angin sebagai kenderaan.


Nabi Sulaiman mempunyai kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Beliau telah diizinkan oleh Allah untuk menguasai angin sebagaimana yang tercatat di dalam Al Quran, Surah Saba’ yang berbunyi :


Maksudnya :
“Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan Kami alirkan baginya mata air daripada tembaga, dan Kami mudahkan sebahagian daripada jin untuk bekerja dihadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa daripada jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api nereka.” -Saba : 12-


Rakyat Nabi Sulaiman pada masa itu bukan sahaja terdiri dari makhluk yang bernama manusia sahaja bahkan sekalian burung, binatang, jin, syaitan, semut-semut dan segala yang melata di bumi ini adalah menjadi rakyatnya yang patuh dan tunduk di bawah kekuasaanya.
Dalam suatu riwayat menceritakan, pada suatu hari semasa Nabi Sulaiman sedang menaiki angin dalam rangka mengawasi kerajaannya yang luas itu tanpa disedari baginda telah sampai sebuah negeri yang bernama Askalan.


Di situ baginda telah sampai ke sebuah kawasan luas yang dipenuhi dengan semut-semut. Semasa Nabi Sulaiman sampai di situ, semut-semut itu sedang berkumpul kerana mengadakan mesyuarat untuk mencari jalan bagi menghindarkan diri dari bahaya pijakan kaki tentera Nabi Sulaiman. Dari jauh Nabi Sulaiman dapat mendengar segala kata-kata panglima semut itu memberikan perintah kepada sekalian rakyatnya.


Mendengar kata-kata itu Nabi Sulaiman tersenyum gembira atas kebolehannya yang dianugerah oleh Allah kepada sehingga berupaya memahami bahasa semut.
Firam Allah di dalam Al Quran surah An Naml ayat 18 dan 19 yang berbunyi :

Maksudnya :
“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Wadian Naml (lembah semut sebuah tempat di Palestin) berkatalah seekor semut, wahai sekalian semut masuklah ke dalam sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu sedang mereka tidak menyedari.”


“Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa seraya berkata, wahai Tuhanku, Ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan dinikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan ibu bapaku, dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaNya yang soleh.”


3. Mukjizat melihat perbendaharaan alam.


Nabi Sulaiman a.s adalah satu-satunya Nabi dan Rasul yang dikurniakan oleh Allah S.W.T berkeupayaan melihat akan segala kekayaan alam yang ada tersimpan di perut bumi sama ada emas, perak, besi dan juga tembaga. Begitu harta kekayaan yang berada di dalam laut yang dalam seperti mutiara berbagai-bagai permata yang mahal harganya.


Nabi Sulaiman juga dapat menguasai jin dan syaitan untuk dikerah menyelam dan mengeluarkan mutiara dan benda-benda berharga dari laut serta membuat kerja-kerja yang lain seperti mendirikan bangunan dan benda-benda yang dikehendakinya.


Walaupun Nabi Sulaiman mewarisi takhta kerajaan daripada bapanya Nabi Daud ketika masih muda, tetapi kerana kecerdikan dan kebijaksanaannya memerintah beliau dengan dibantu oleh perdana mentee yang berpengalaman.


Kawasan perintahan Nabi Sulaiman merangkumi pulau-pulau dipersekitarannya. Ini termasuklah pulau Saidun. Pulau ini didiami dan diperintah oleh seorang puteri cantik yang bernama Jaradah. Jaradah telah memeluk agama Islam setelah pulau itu diperintah oleh kerajaan Nabi Sulaiman.


Walaupun Jaradah telah menganut agama Islam tetapi kerana pengetahuan agama Islamnya cetek beliau tetap menyembah patung-patung yang menjadi kebiasaan penduduk pulau itu beribadat. Sepanjang pernikahan Jaradah dengan Nabi Sulaiman, beliau telah menyembah patung-patung itu selama 40 hari sebelum beliau mengetahui bahawa menyembah patung itu adalah salah di sisi Islam.


4. Mukjizat cincin hikmat


Nabi Sulaiman mempunyai sebentuk cincin yang sering dipakainya semasa tempoh pemerintahannya. Cincin ini juga adalah merupakan sebahagian daripada mukjizat-mukjizat yang dianugerah oleh Allah kepadanya. Cincin hikmat ini juga ada pantangnya di mana ia tidak boleh dibawa masuk ke dalam tandas tidak boleh dipakai semasa sedang membuang air besar atau kecil. Setiap kali beliau hendak membuang air besar atau kecil, cincin itu akan diserahkan kepada orang kepercayaannya di istana itu yang bernama Aminah.


Pada suatu hari seperti biasa apabila dia hendak ke tandas cincin diserahkannya kepada Aminah. Dengan kehendak Allah, Allah telah menguji kehandalannya dan untuk membuktikan bahawa manusia itu walaupun menjadi nabi dan rasul tetapi kalau tanpa pertolongan Allah mereka tidak akan berdaya.


Tanpa disedari oleh Nabi Sulaiman ada jin yang telah menyerupai dirinya dan mengambil cincin hikmat itu dari Aminah. Dengan ketiadaan cincin itu Nabi Sulaiman tidak boleh memerintah negerinya sehingga beliau memakai semula cincin itu. Selama 40 hari lamanya barulah Nabi Sulaiman mendapat semula cincinnya.


5. Mukjizat memindahkan Istana Puteri Balkis


Menurut riwayat, selepas Baitulmaqdis dibangunkan dan setelah mengerjakan ibadat haji, Nabi Sulaiman dan angkatan tenteranya telah mara ke selatan menuju ke sebuah negeri yang berdekatan dengan lautan Hindi yang pada masa ini dikenali sebagai Yaman dan pada masa itu dikenali sebagai Sabak.


Angkatan tentera Nabi Sulaiman yang terdiri daripada manusia dan jin tidak terhitung ramainya. Manakala angkatan burung pula berterbangan di atas bagi melindungi mereka daripada kepanasan matahari. Nabi Sulaiman mengetuai angkatan tenteranya dengan menaiki seekor kuda.


Setelah beberapa hari perjalanan meredah padang pasir, akhirnya merekapun sampai di sebuah tempat bernama Askalan di mana di tempat itulah Nabi Sulaiman terdengar penghuni semut memerintahkan rakyatnya masuk ke dalam lubang masing-masing agar tidak dipijak oleh tentera-tentera Nabi Sulaiman.


Setelah penat berjalan mereka berhenti dilembah semut itu selama sehari semalam. Keesokan harinya barulah mereka meneruskan perjalanan. Beberapa hari kemudian Nabi Sulaiman dan angkatan tenteranya telah kehabisan bekalan air lalu beliau memerintah beberapa orang askarnya mencari air di merata kawasan di situ. Malangnya askar tersebut tidak menjumpai kawasan-kawasan yang mengandungi air, lantas Nabi Sulaiman pun memerintahkan jin-jinnya mengorek tanah untuk mendapat air.


Setelah telaga itu dikorek sedalam-dalamnya namun mereka masih tidak menjumpai air yang sangat diperlukan itu. Kemudian Nabi Sulaiman memutuskan untuk menyuruh burung hud-hud (belatuk) mencari air kerana hanya dialah saja yang tahu di mana terdapat air. Lalu Nabi Sulaiman bertitah supaya burung hud-hud datang menghadapnya, tetapi Nabi Sulaiman diberitahu bahawa burung hud-hud tidak ada. Nabi Sulaiman tersangat marah lalu diapun keluar pergi ke tempat burung itu menginap.


Kemudian Nabi Sulaiman bertanya kepada burung gagak adakah burung hud-hud sengaja tidak mahu mengadap. Maka burung gagak pun berkata bahawa burung hud-hud telah terbang kea rah selatan. Sekali lagi Nabi Sulaiman menjadi marah kerana burung hud-hud telah mengabaikan tugasnya. Nabi Sulaiman telah mengancam akan menyembelih burung hud-hud kerana dia telah melanggar perintah dan meninggalkan tugasnya.


Dalam pada itu perdana menteri Nabi Sulaiman yang bernama Arif simpati terhadap burung hud-hud lalu dia berkata kepada Nabi Sulaiman bahawa inilah kali pertama burung hud-hud itu menderhaka. Dan katanya lagi mungkin jin yang telah menghilangkan air hinggakan tanah yang digalipun tidak berair.


Lantas Nabi Sulaiman memerintahkan angin membawa air ke situ. Tidak lama kemudian tibalah segumpal awan menurunkan hujan kepada Nabi Sulaiman dan bala tenteranya yang telah kehabisan air itu.


Sebenarnya burung hud-hud itu bukanlah mengabaikan tugasnya tetapi tujuan dia pergi ke selatan itu adalah kerana hendak meninjau kalau-kalau adanya terdapat air di sana. Malangnya dia telah terlupa untuk memberitahu kepada Nabi Sulaiman akan pemergiannya itu.
Semasa burung hud-hud itu terbang ke selatan beliau telah menemui air disebuah tasik di tepi sebuah istana yang mewah. Istana itu terletak di atas bukit dan negeri itu diperintah oleh Puteri Balkis. Selain melihat air, burung hud-hud juga telah meninjau ke dalam istana Puteri Balkis itu. Apabila menyedari dia telah terlewat diapun terbang semula ke tempat Nabi Sulaiman.
Dengan perasaa takut dia mengadap Nabi Sulaiman lalu diapun menceritakan perkara yang sebenarnya. Dia juga menceritakan bagaimana Puteri Balkis itu menyembah matahari dan tidak kepada Allah. Mendengar penerangan itu, Nabi Sulaiman menjadi tenang. Baginda berasa tidak senang hati mendengar Puteri Balkis itu menyembah matahari. Setelah Nabi Sulaiman mengampunkan burung hud-hud lalu Nabi Sulaiman menulis sepucuk surat kepada Puteri Balkis dalam usaha Nabi Sulaiman hendak menguji kebenaran kata-kata burung hud-hud itu.
Setelah surat itu selesai ditulis Nabi Sulaiman pun menyerahkannya kepada burung hud-hud untuk diberi kepada Puteri Balkis. Sebaik saja sampai di istana itu, burung hud-hud pun menjatuhkan surat itu di hadapan Puteri Balkis. Pada masa itu Puteri Balkis sedang bermesyuarat dengan pembesar-pembesar negerinya. Setelah menjatuhkan surat itu burung hud-hud segera menyorok di sebalik dinding di dalam istana itu.


Puteri Balkis hairan bagaimana surat itu boleh melayan dihadapannya. Beliau tidak nampak sesuatu yang disyaki menghantar surat itu. Lalu diapun membuka dan membaca surat itu. Antara isi kandungan surat itu menyatakan : “Surat ini datang daripada Sulaiman, jangan kamu takbur kepadaku dan menganggap dirimu lebih tinggi daripadaku. Datanglah kamu sekalian kepadaku menyerah diri.”


Puteri Balkis membaca surat itu berulang kali, dia bagai tidak percaya akan isi kandungan surat itu. Lalu diapun memanggil para penasihatnya untuk meminta buah fikiran mereka.
Setelah persetujuan dicapai, maka Puteri Balkis menetapkan hari penghantaran hadiah untuk diberikan kepada Nabi Sulaiman. Burung hud-hud yang tadi tadi memasang telinga terbang semula ke tempat Nabi Sulaiman dan memberitahu akan rancangan Puteri Balkis. Burung hud-hud yang dari tadi memasang telinga terbang semula ke tempat Nabi Sulaiman dan memberitahu akan rancangan untuk menghantar utusannya yang membawa hadiah sebagai jawapan surat yang dikiranya itu.


Nabi Sulaiman pun mengatur majlis penerimaan utusan Puteri Balkis. Kemudian beliau memerintahkan pasukan jinnya menyediakan sebuah bangunan yang tidak ada taranya pada itu untuk mengkagumkan rombongan Puteri Balkis itu. Tepat pada hari yang ditentukan rombongan Puteri Balkis itu pun sampai dengan membawa peti-peti permata, emas dan perak. Lantas Nabi Sulaiman pun bertanya kepada rombongan itu tentang tujuan kedatangan mereka ke situ.


Ketua rombongan itu memberitahu bahawa kedatangan mereka adalah untuk menjawab surat yang diberikan kepada Puteri Balkis pemerintah mereka. Nabi Sulaiman berkata :
“Bawalah pulang hadiah-hadiah ini kepada ratu kamu janganlah memujuk kami dengan harta benda. Allah telah memberi rezeki dan kekayaan serta nikmat kepada kami yang tidak pernah diberi kepada orang lain di samping itu beta diutus sebagai nabi dan rasul oleh Allah dan diberi kerajaan yang luas serta kekuasaan kepada manusia, malah kepada makhluk jin dan binatang. Beta tidak megah dengan harta dunia walaupun kamu memandang besar hadiah yang kau bawa ini. Kamu pulanglah ! Sampaikan pesan beta, kami akan hantar bala tentera yang kuat yang tidak akan dikalahkan oleh ratu Sabak.


“Tentera kami akan mengeluarkan ratu kamu dan pengikut-pengikutnya dari Sabak sebagai seorang yang hina yang tidak mempunyai kebesaran dan kerajaan untuk memerintah lagi.” Titah Nabi Sulaiman.


Kepulangan rombongan utusan membawa hadiah dari istana Nabi Sulaiman itu diikuti oleh burung hud-hud dari udara. Segala gerak geri dan perkembangan selanjutnya di istana diperhatikannya dengan teliti untuk membuat lapuran ke Nabi Sulaiman.
Setelah meneliti dan mendengar segala perkhabaran yang dibawa oleh utusannya maka Puteri Balkis pun menyedari tentang besarnya kekuasaan yang dimiliki oleh Nabi Sulaiman a.s Setelah habis utusannya bercakap diapun berkata : “Daripada Nabi Sulaiman datang ke sini dengan bala tenteranya adalah lebih baik aku dahulu mendatangainya dengan beberapa pengawalku dan aku pun ingin sekali menyaksikan dari dekat betapa hebatnya kerajaan Nabi Sulaiman itu.”
Mendengar rancangan Puteri Balkis itu burung hud-hud pun segera terbang semula ke tempat Nabi Sulaiman dan menceritakan apa yang telah didengarinya.


Setelah itu Nabi Sulaiman segera memerintahkan jin-jinnya menyedia dan membangunkan sebuah istana tetamu. Nabi Sulaiman ingin menunjukkan kepada ratu Sabak itu bahawa beliau mempunyai kuasa ghaib dan juga kuasa zahir. Beliau juga ingin membuktikan bahawa surat yang diutuskan dahulu bukanlah ugutan kosong.


Sebelum rombongan Puteri Balkis tiba, Nabi Sulaiman mengumpulkan rakyatnya dari kalangan manusia dan jin yang bijaksana, lalu beliau bertitah menanyakan sesiapa yang boleh membawa istana ratu Sabak itu sebelum ratu dan pembesarnya itu tiba.


Seorang jin bernama Afrit menjawab bahawa dia sanggup membawa takhta itu dengan segera. Manakala seorang menteri Nabi Sulaiman yang bernama Asif pula berkata dia boleh membawanya dalam sekelip mata sahaja. Setelah itu, Asif tunduk sambil berdoa. Seketika itu juga takhta ratu Sabak itu telah berada di hadapan mereka. Cerita berpindahnya istana ratu Sabak itu telah diterangkan oleh Allah di dalam Al Quran surah An Naml ayat 38-44.
Setelah Puteri Balkis sampai di istana Nabi Sulaiman lalu diapun dipersilakan masuk. Kata Nabi Sulaiman : “Masuklah ke dalam mahligai ini.”


Sebaik saja Puteri Balkis melangkah masuk dilihatnya lantai mahligai itu seolah-olah penuh dengan air lalu dia menyinsingkan kainnya sehingga ke paras betis agar tidak basah.
Melihatkan yang demikian Nabi Sulaiman pun berkata : “Ini bukan air, sesungguhnya mahligai ini diperbuat dari kaca yang licin berkilat.”


“Ya Tuhanku, rupanya aku telah menganiaya diri sendiri, tunduklah aku beserta Sulaiman kepada Tuhan seru sekalian alam.” Kata Puteri Balkis pula.


Akhirnya puteri Balkis pun beriman kepada Allah setelah melihat kebesaran kerajaan serta kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman a.s. Menurut setengah ahli tafsir dan sejarah, ratu Sabak itu bernikah juga dengan Nabi Sulaiman. Manakala ada juga riwayat lain mengatakan perkahwinan Nabi Sulaiman dengan Puteri Balkis itu menghasilkan seorang anak laki-laki.


6. Kewafatan Nabi Sulaiman


Selain membangunkan kerajaannya yang kuat, indah dan kaya Nabi Sulaiman juga membangunkan masjid. Menurut setengah riwayat menceritakan setelah bangunan masjid Masjidil Aqsa itu selesai pembinaannya barulah Nabi Sulaiman terjatuh rebah dari kerusinya.
Kewafatan Nabi Sulaiman telah diceritakan oleh Allah di dalam Al Quran dalam surah Al Saba’ ayat 14 yang berbunyi :

Maksudnya :
“Setelah kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila tumbang ternyatalah kepada golongan jin bahawa kalau mereka sedia mengetahui perkara yang ghaib, nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.”


Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan kewafatan Nabi Sulaiman itu tidak disedari oleh pekerja-pekerjanya yang terdiri daripada jin dan manusia. Mereka bekerja tekun dan rajin. Oleh kerana terlalu takut kepada Nabi Sulaiman maka tidak seorangpun yang berani menatap wajahnya. Beliau tetap duduk di atas kerusinya tidak bergerak-gerak kira-kira setahun lamanya.


Oleh kerana terlalu lama baginda telah wafat dalam keadaan demikian maka tongkatnya telah dimakan oleh anai-anai lalu rebahlah jenazah itu ke lantai. Maka di masa itulah para jin dan manusia tahu bahawa pemerintah yang mengawal kerja-kerja mereka telah wafat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan