Ahad, 26 Julai 2009

MUKJIZAT NABI IDRIS



MUKJIZAT NABI IDRIS



Sebagaimana yang kita ketahui, Nabi Idris adalah salah seorang nabi dan rasul yang utama. Beliau adalah merupakan datuk kepada ayah Nabi Nuh a.s sebagaimana yang diriwayatkan oleh Iman Bukhari r.a.



Nama Nabi Idris yang sebenarnya ialah Ukhunuh, oleh kerana dia tekun mempelajari ilmu agama dan kitab-kitab Allah, maka beliau telah dikenali sebagai Idris.



Menurut riwayat, Nabi Idris adalah seorang nabi yang mula-mula sekali pandai menulis dengan kalam dan boleh membaca. Disebabkan kebolehan beliau itu maka Allah S.W.T telah menurunkan 30 syahifah yang berupa petunjuk daripadaNya untuk disampaikan kepada umatnya yang terdiri daripada keturunan Qabil iaitu putera kepada Nabi Adam a.s yang menderhaka kepada Allah.



Selain daripada terkenal kerana kebolehannya menulis dan membaca beliau juga adalah merupakan orang yang pertama sekali berkebolehan menunggang kuda, mengetahui ilmu bintang, pandai mengira serta memerangi orang-orang yang menderhakai Allah S.W.T. Beliau juga adalah orang pertama sekali yang pandai menggunting dan menjahit pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang.



Kehidupannya sehari-hari sentiasa diisi dengan kegiatan beribadah kepada Allah serta menolong orang-orang miskin. Pada masa lapang beliau gunakan waktu itu untuk menjahit pakaian. Biasanya apabila pakaian itu siap dia akan memberikannya kepada orang yang miskin. Di samping itu setiap hari dia tidak pernah lepas dari berpuasa.



Nabi Idris a.s adalah seorang yang tidak pernah lupa untuk berbakti dan beribadar kepada Allah S.W.T. meskipun dia sibuk menghadapi tugas-tugas harian. Nabi Idris juga adalah seorang gagah, beliau mempunyai kekuatan yang amat luar biasa, oleh kerana sifatnya liar biasa itu tidak terdapat pada orang lain maka beliau dikenali sebagai ‘Asadul Usud’ atau Singa dari segala singa’.



Dengan sifatnya yang gagah yang dikurniakan oleh Allah itu dapatlah dia memerangi orang-orang yang derhaka terhadap Allah S.W.T Allah S.W.T telah mengurniakan darjat yang tinggi sebagaimana yang diterangkan di dalam surah Mariam ayat 56-57 yang berbunyi :

Maksudnya :
“Terangkanlah (hal)Idris yang tersebut di dalam Al Quran bahawa Idris adalah seorang Nabi yang benara dan Tuhan telah meninggikan darjatnya.”
Oleh kerana ketinggian darjatnya itu maka Allah berfirman dalam surah Al Anbia ayat 85-86 yang berbunyi :

Maksudnya :
“Ingatlah akan kisah Ismail, Idris dan Zulkifli, mereka semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang sabar. Kami masukkan mereka itu ke dalam rahmat Kami, sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang yang soleh.”



1. Mukijizat menikam mata iblis.



Memandangkan Nabi Idris hidupnya sangat taqwa dan soleh, ini telah membuatkan Iblis dan Syaitan berasa iri hati. Ini kerana Iblis dan Syaitan memang memusuhi orang yang taat dengan segala perintah Allah.



Pada suatu hari ketika Nabi Idris sedang duduk menjahit baju secara tiba-tiba dan entah dari mana datangnya, muncullah seorang lelaki di hadapan pintu rumahnya sambil memegang sebutir telur di tangannya. Kata Iblis yang menyamar sebagai lelaki itu :
“Ya Nabi Allah ! Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ke dalam telur ini ?”
Sebaik saja Nabi Idris melihat lelaki itu, tahulah dia bahawa orang yang berada dihadapannya itu adalah Iblis yang dilaknat. Nabi Idris pun berkata :
“Marilah dekat kepada aku, dan tanyalah apa yang engkau mahu.” Kata Nabi Idris dengan nada yang lemah lembut.



Iblis yang menyangka dirinya pintar itu datang menghampiri Nabi Idris. Maka Iblis pun berkata lagi :
“Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ke dalam telur ini.”
“Usahkan memasukkan dunia ini ke dalam telur sebesar ini malah ke dalam lubang jarum aku ini pun tuhan aku berkuasa melakukannya.”



Lalu dengan secepat kilat Nabi Idris menikam mata Iblis itu dengan jarumnya. Sebaik saja jarum itu mengenai matanya, Iblis menjerit kesakitan. Dia terkejut dan tidak menyangka bahawa Nabi Idris akan mengetahui tipu dayanya. Oleh kerana bisanya cucukan jarum itu maka mata Iblis itu telah menjadi buta. Tanpa membuang masa Iblis pun lari dari situ dan terus menghilangkan diri setelah menerima pengajarannya.



2. Nabi Idris dengan malaikat Izrail.



Kealiman Nabi Idris pada masa dahulu bukan saja membuat setiap manusia ingin berkenalan dengannya bahkan para malaikat juga turut berminat hendak berkenalan.
Suatu ketika malaikat Izrail telah bercadang hendak berkenalan dengan Nabi Idris a.s. Bagaimanapun sebelum pergi menemui Nabi Idris, malaikat Izrail telah menghadap Allah S.W.T utuk meminta izin bertandang ke rumah Nabi Idris.
Setelah mendapat keizinan dari Allah, maka malaikat Izrail pun pergi ke rumah Nabi Idris dengan menyamar sebagai seorang biasa. Pada mulanya Nabi Idris tidak mengetahui bahawa tetamunya itu adalah malaikat Izrail, bagaimanapun lama kelamaan Nabi Idris berasa syak terhadap tetamunya itu. Maka suatu hari Nabi Idris pun bertanya kepada tetamunya itu, katanya : “Siapakah enkau sebenarnya wahai kawan.”
“Saya sebenarnya malaikat pencabut nyawa.” Kata malaikat Izrail berterus terang. Mendengar jawapan itu Nabi Idris berasa amat terkejut.



“Apakah kedatanganmu ke mari kerana hendak mencabut nyawa aku.” “Bukan Nabi Allah, saya datang kemari kerana hendak berkenalan kerana kami amat mengkagumi iman dan kesolehanmu.” Kata Izrail lagi. “Oh… kebetulan sekali”, kata Nabi Idris. Jawapan itu menimbulkan kehairanan pada malaikat Izrail.



“Sebenarnya saya ingin sangat hendak mati, kerana saya hendak merasakan bagaimanakah sakitnya ketika nyawa itu dicabut. Supaya dengan itu akan menambahkan lagi amalan saya kepada Allah. Sesudah saya merasakan itu semua, engkau berdoalah kepada Allah supaya saya diizinkan untuk hidup kembali seperti sedia kala.”



Mendengar kata-kata Nabi Idris itu, malaikat Izrail pun berkata : “Maafkanlah ya Nabi Allah ! Sebenarnya saya belum pernah mencabut nyawa seseorang kecuali dengan izin Allah.”
Habis saja dia berkata begitu, turunlah wahyu dari Allah kepadanya untuk mencabut nyawa Nabi Idris a.s Setelah mendapat wahyu itu maka dicabutlah nyawa Nabi Idris a.s Kematian Nabi Idris telah membuat malaikat Izrail berasa amat sedih kerana telah kehilangan kawan rapatnya. Dalam kesedihan itu dia berdoa kehadrat Allah supaya Nabi Idris dihidupkan kembali. Allah mengkabulkan doanya, Nabi Idris hidup seperti sedia kala.



Sebaik saja Nabi Idris mulai hidup, Nabi Idris pun berkata : “Wahai sahabatku ! Aku mengucapkan terima kasih kepadamu kerana doamu itu telah menyebabkan aku hidup kembali.”



“Bagaimanakah rasanya ketika nyawamu dicabut tadi?” Tanya malaikat Izrail.
“Aduh sahabat, orang yang disiat kulitnya pun cukup sakit. Tapi jika dibandingkan ketika nyawa dicabut rasanya sakitnya tidak dapat hendak aku gambarkan.” Ujar Nabi Idris bersungguh-sungguh.



“Wahai Nabi Allah ! Sesungguhnya ketika saya mencabut nyawamu aku mencabut nyawa sehalus ini”, kata malaikat Izrail. Kemudian Nabi Idris berkata lagi : “Wahai sahabatku Izrail ! Sudikah engkau membawa aku melihat neraka.”



“Ya sahabatku, bagaimana aku dapat membawamu ke neraka tanpa izin Allah seperti mana yang engkau pinta untuk merasakan mati dahulu” jawab malaikat Izrail.



Setelah Nabi Idris menyatakan hasratnya, kemudian turunlah wahyu kepada malaikat Izrail yang mengizinkan beliau untuk membawa Nabi Idris pergi melihat neraka. Sebaik saja mereka berdua sampai di neraka, Nabi Idris berasa amat takut menyaksikan keadaan neraka yang mengerikan itu.



Kemudia Nabi Idris meminta pula malaikat Izrail membawanya ke syurga. Setelah mendapat wahyu dari Allah, lantas malaikat Izrail pun membawa Nabi Idris ke syurga.



Setelah sampai di pintu syurga, malaikat Izrail menyuruh Nabi masuk ke dalam untuk menyaksikan kemudahan dan kenikmatan syurga dengan mata dan kepala beliau sendiri. Setelah agak lama malaikat Izrail menunggu di luar, lalu diapun berkata : “Ya … Nabi Idris, keluarlah. Saya sudah lama menunggumu.”



Malaikat Izrail berasa hairan kenapa Nabi Idris tidak keluar-keluar. “Wahai sahabatku Izrail. Aku ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepadamu kerana telah sudi menghantar aku kesyurga ini. Aku tidak mahu keluar sebab bukankah aku telah merasakan mati.” Kata Nabi Idris dari dalam syurga.



Alangkah terkejutnya malaikat Izrail apabila Nabi Idris berkata begitu. Dan tidak menyangka begitu kesudahannya, lalu dia berkata lagi : “Wahai Nabi Allah ! Mana boleh tuan duduk di dalam syurga sebab tuan belum mendapat keizinan dari Allah”



Menurut riwayat, Allah S.W.T telah memerintahkan malaikat Izrail meninggalkan Nabi Idris di syurga buat selama-lamanya.

1 ulasan: