Ahad, 26 Julai 2009

MUKJIZAT NABI ISMAIL


MUKJIZAT NABI ISMAIL


Nabi Ismail ialah anak kepada Nabi Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar. Nabi Ibrahim mulai berkenalan dengan Siti Hajar selepas ditawan oleh raja Mesir ketika mereka dalam perjalanan ke Mesir.


Apabila raja Mesir itu gagal menggoda Siti Sarah kerana pertolongan Allah maka Siti Sarah dan Nabi Ibrahim dibebaskan. Kemudian raja itu menghadiahkan mereka seorang sahaya yang bernama Siti Hajar sebagai penghormatan kepada Siti Sarah dan Nabi Ibrahim.


Siti Sarah menyedari dirinya semakin tua, manakala Siti Hajar pula semakin dewasa dan jelita. Siti Sarah berasa cemburu kerana dia tidak mempunyai anak apatah lagi apabila mengetahui Siti Hajar telah hamil setelah berkahwin dengan Nabi Ibrahim.


Keretakan rumahtangga Nabi Ibrahim mula berlaku kerena cemburu yang melampau. Siti Sarah meminta Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar jauh dari penglihatannya. Jibril menyampaikan wahyu supaya Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar keluar dari rumah itu.
Nabi Ibrahim tidak tahun ke mana hendak ditujunya. Apabila tiba di suatu tempat yang kini dinamakan Mekah, Siti Hajar diturunkan dari unta dan dibekalkannya dengan apa yang ada. Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah agar Allah menjaga isterinya. Beliau berpesan kepada Siti Hajar bahawa beliau akan datang lagi melihatnya.


Dari sehari ke sehari Siti Hajar menunggu kedatangan Nabi Ibrahim tetapi tidak juga kunjung tiba. Kandungan Siti Hajar semakin sarat. Akhirnya beliau melahirkan anak lelaki tanpa bidan dan suami di sisi, dan anak itu telah diberi nama Ismail.


Bekalan air telah habis. Siti Hajar terpaksa mencarinya untuk dibuat minuman dan membersihkan dirinya. Lantas diapun berlari-lari anak-anak dari satu bukit kesatu bukit mencari air. Beliau berulang alik beberapa kali namun tidak juga bertemu dengan air.
Begitulah keadaan beliau berulang alik sehingga tujuh kali yang mana tempat itu kini dikenali sebagai Safa dan Marwah yang telah menjadi amalan bagi orang yang mengerjakan haji.
Sambil berulang alik itu dia melihat anaknya Ismail. Siti Hajar terpegun melihat air keluar dari bekas tumit hentakan Ismail. Lalu diangkatnya batu di tepi air yang mengalir itu. Air itu semakin membesar keluarnya. Siti Hajar mengepung air itu agar tidak keluar ke tempat lain. Itulah pancaran air yang sehingga kini terkenal dengan telaga zam-zam.


Ketiga-tiga beranak itu sedia menghadapi ujian Allah. Nabi Ismail dihias cantik oleh ibunya untuk pergi ke tempat pengorbaan. Selepas kedua beranak itu jauh meninggalkan rumah, Siti Hajar didatangi oleh Iblis menyatakan bahawa anaknya akan dibunuh.


“Tidak” kata Siti Hajar “Adakah bapa akan sanggup membunuh anaknya sendiri”. Kemudian Iblis pergi pula menghasut Nabi Ismail sebelum bapanya tiba untuk dibawa ke tempat pengorbanan.


Kata Nabi Ismail : “Jika dengan perintah Allah, aku rela menjunjungi perintah Tuhanku”
Nabi Ismail memberitahu bapanya bahawa Iblis telah datang menghasutnya supaya jangan pergi ke tempat korban.


Kata Nabi Ibrahim : “Ambillah batu dan lontarkan kepadanya”. Kedua-dua beranak itupun mengambil batu dan melontarkannya pada Iblis, seorang tiga kali dengan tiga ketul batu. Sebab itulah hingga sekarang apabila orang Islam mengerjakan haji, wajib melontar batu di tiga tempat di bukit Mina di hari Tasyriq iaitu tiga hari 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Kalau tidak melontar terpaksalah membayar dam.


Walaupun Nabi Ismail bersetuju untuk dikorbankan tetapi beliau meminta bapanya mengikat dirinya kuat-kuat supaya beliau tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayahnya untuk menyembelih. Nabi Ismail juga memohon dibuka pakaiannya supaya tidak terkena darahnya pada pakaiannya yang boleh mengurangkan pahala dan juga mungkin ibunya akan terharu melihat darah dipakaiannya.


Ketiga Nabi Ismail mahu parang yang digunakan hendaklah tajam dan dicepatkan penyembelihan supaya mengurangkan kepedihannya. Yang terakhir sekali Nabi Ismail meminta bapanya sampaikan salam beliau kepada ibunya Siti Hajar.


Saat penyembelihan itu pun tiba. Kaki dan tangan Nabi Ismail diikat erat. Diletakkan parang yang tajam itu ke leher Nabi Ismail. Akan tetapi leher Nabi Ismail tidak lut dimakan oleh parang itu. Malah sedikit darah pun tidak terkeluar dari lehernya.


Nabi Ibrahim kecewa. Walaupun dia mencuba lagi akan tetapi beliau masih gagal menyembelihnya. Pada saat itu datanglah wahyu Allah yang berbunyi :

Maksudnya :
“Wahai Ibrahim ! Kamu telah Berjaya melaksanakan tugasmu, demikianlah Kami akan membalas orang-orang yang membuat kebajikan” -Ash-Syafaat : 150 –


Sebagai ganti nyawa Nabi Ismail itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang tersedia di situ dijadikan sebagai korbannya. Dengan parang itu juga kambing itu disembelihkan. Dan inilah asal permulaan dijadikan sunat berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap tahun apabila menjelang Hari Raya Haji.


Menurut riwayat lain, setelah Nabi Ibrahim menutup matanya dengan kain, supaya beliau tidak dapat memandang wajah Nabi Ismail ketika melakukan penyembelihan itu. Kemudian anaknya disembelih. Nabi Ibrahim terasa darah memancut keluar dari leher Nabi Ismail. Tetapi Nabi Ibrahim amat terkejut sebaik saja dia membuka kain penutup matanya didapati seekor kambing terbaring sudah disembelih. Sementara itu Nabi Ismail tidak pula disembelih, malah sedikitpun tidak tercedera.


Selepas beberapa lama peristiwa korban itu berlaku, Nabi Ibrahim menerima wahyu Allah melalui korban. Beliau dikehendaki membuat sebuah rumah untuk dijadikan tempat manusia menumpukan ibadatnya.


Beliau dikehendaki membuat rumah Allah, iaitu Baitullah berhampiran dengan telaga zam-zam di Mekah dengan bantuan anaknya Ismail. Batu-batu untuk dijadikan bahan binaan itu diambil dari bukit-bukit di sekitar Mekah.


Keesokkannya, kedua-dua beranak itu dari sejak pagi hingga petang membuat kerja membina kaabah. Mereka bekerja terus menerus tanpa memikirkan keletihan. Akhirnya tertegaklah Baitullah dengan ketinggian yang dapat dicapai oleh tangan Nabi Ibrahim. Untuk meninggikan lagi bangunan Kaabah itu Nabi Ibrahim menyuruh Nabi Ismail mencari batu besar untuk dijadikan tempat berpijak. Bekas pijakan Nabi Ibrahim itulah dikatakan sebagai Maqam Ibrahim yang kini berada disisi Kaaabah.


Selepas beberapa hari mereka bekerjaa dan hamper selesai datanglah sekumpulan awan yang daripadanya keluar suatu suara berkata bermaksud : “Wahai Nabi Allah ! Apabila siap rumah ini maka hendaklah kamu namakannya Ka’abatullah, yang mana itu akan kekal hingga ke zaman Nabi Muhammad, Rasulullah yang akan datang.”.


Setelah selesai pembinaan itu, Nabi Ibrahim pun berdoa yang bermaksud : “Wahai Tuhan Kami ! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maka Mengasihani”. (Surah Al Baqarah : 128)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan